ADDIS ABABA: Benua Afrika masih berdepan fasa kritikal dalam wabak mpox apabila jumlah kes yang dilaporkan tahun ini melebihi paras 50,000, menurut amaran yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC).
Dalam taklimat media secara dalam talian pada Khamis, Ketua Pengarah Africa CDC, Jean Kaseya memaklumkan bahawa 19 negara Afrika melaporkan 50,840 kes mpox, dengan 10,741 kes disahkan dan 1,083 kematian sejak awal tahun ini.
Pada minggu lepas, benua itu melaporkan 2,532 kes baharu, termasuk 345 kes disahkan dan 32 kematian, lapor Xinhua.
Data daripada agensi kesihatan khas Kesatuan Afrika itu menunjukkan peningkatan lebih 545 peratus kes mpox yang disahkan di Afrika tahun ini berbanding tahun lepas.
Wilayah Afrika Tengah paling terjejas, merangkumi 85.8 peratus kes yang dilaporkan dan 99.4 peratus kematian.
“Kami masih berada dalam fasa kritikal wabak ini, dan situasi ini memerlukan usaha berganda untuk mengawal penularan mpox di Afrika,” kata Kaseya.
Beliau berkata bahawa Republik Demokratik Congo (DRC) dan Burundi, dua negara yang paling teruk dilanda wabak ini menyumbang 86.7 peratus daripada semua kes baharu yang disahkan dalam minggu lepas.
Mengulas kebimbangan terhadap peningkatan kes mpox di Uganda, Ketua Africa CDC memaklumkan bahawa 14 negara Afrika kini menghadapi penularan aktif virus mpox.
Beliau turut menyebut bahawa empat negara Afrika, iaitu Cameroon, Gabon, Guinea, dan Afrika Selatan, tidak melaporkan sebarang kes yang disahkan dalam tempoh enam minggu lepas.
Namun, Kaseya menegaskan bahawa walaupun sesetengah negara tidak melaporkan kes untuk beberapa minggu berturut-turut, mereka tetap berisiko tinggi disebabkan penularan rentas sempadan.
Kaseya juga meluahkan kebimbangan mengenai kesan penyakit komorbiditi, iaitu kehadiran dua atau lebih penyakit atau keadaan perubatan serentak dalam seorang pesakit, kerana kadar kematian mpox berkait rapat dengan HIV, terutama bagi kes HIV yang tidak diurus dengan baik atau baru didiagnosis.
“Komorbiditi memainkan peranan utama seperti yang kita lihat pada kematian di Uganda dan Kenya baru-baru ini, dan dua kematian di Afrika Selatan juga berkait dengan HIV. Oleh itu, kami menggalakkan ujian serentak bagi mpox dan HIV,” katanya.
Mpox, yang turut dikenali sebagai cacar monyet, pertama kali dikesan pada monyet makmal pada 1958.
Pada pertengahan Ogos, Africa CDC mengisytiharkan wabak mpox sebagai kecemasan kesihatan awam. Tidak lama selepas itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan di peringkat antarabangsa, dan meningkatkan tahap amaran global bagi mpox untuk kali kedua dalam tempoh dua tahun. – Bernama