KUCHING: Program Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) dapat membantu para usahawan pertanian ini untuk menjana pendapatan melalui pelbagai cara.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kerajaan dari dahulu lagi sentiasa memastikan pendapatan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat terjaga.
“Antara yang dibantu adalah seperti program fertigasi, sistem hidroponik, pertanian bandar dan sebagainya.
“Ini merupakan jenis-jenis pertanian yang masih dapat dijalankan di kawasan bandar dan Dana Fasilitasi pertanian (AFF) ini dapat membantu pengusaha-pengusaha ataupun usahawan-usahawan pertanian. Di kawasan Tupong lebih kurang 200 penerima secara berperingkat bagi tahun 2020/2021.”
Beliau berkata demikian pada Program Simbolik Penyerahan Input Pertanian Bagi Peruntukan Agriculture Facilitation Fund (AFF) untuk kawasan DUN Tupong di Dewan Kampung Pinang Jawa, semalam.
Tambah beliau, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pelbagai jenis bantuan disalurkan kepada masyarakat ketika menghadapi pandemik Covid-19.
“Cabaran-cabaran inilah yang memberi kesan mendalam buat masyarakat bukan sahaja di Sarawak malah di seluruh dunia.
“Dengan adanya pelbagai jenis bantuan yang disalurkan oleh kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang terjejas.”
Natimah, peniaga ayam segar yang juga antara penerima mesin untuk mencabut bulu ayam menyatakan kesyukurannya dengan mendapat mesin tersebut akan mempercepatkan proses mencabut bulu ayam segar yang dijualnya.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak Jabatan Pertanian dan Pusat Khidmat DUN Tupong dalam membantu perniagaan ayam segar saya,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA