
KUCHING: Hari AeroBig Sarawak kembali pada tahun 2025 dengan visi yang lebih besar dan segar, bertujuan menyatukan rakyat Sarawak melalui kecergasan dan semangat kebajikan.
Acara tahunan ini dianjurkan oleh Bantu Sarawak dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku penganjur bersama. Ia turut disokong oleh Life Event Borneo dan JVY Event Management sebagai penganjur rasmi serta rakan kerjasama utama.
Hari AeroBig Sarawak 2025 merupakan acara aerobik berskala besar berasaskan amal yang akan diadakan di empat lokasi iaitu Miri, Bintulu, Sibu dan Kuching, pada empat hujung minggu berturut-turut.
Pada 2024, acara ini berjaya menarik lebih 2,800 peserta dan mengumpul dana sebanyak RM20,000, sekali gus membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap gaya hidup sihat yang turut memberi manfaat kepada komuniti.
Meneruskan momentum kejayaan tahun sebelumnya, edisi 2025 akan terus menyokong misi asalnya iaitu memperkasa komuniti terpinggir di seluruh Sarawak, termasuk melalui sumbangan kepada Projek Noah’s Ark.
“Saya menyokong penuh program seperti ini kerana ia memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya dari segi kecergasan fizikal dan kesihatan menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Bantu Sarawak, Jeffry Ngui berkata, Hari AeroBig Sarawak bukan sahaja menekankan aspek kesihatan, malah berperanan sebagai platform kebajikan melalui kutipan dana untuk membantu mereka yang ditimpa musibah seperti banjir, kebakaran dan bencana lain.
Siri jelajah Hari AeroBig Sarawak 2025 akan bermula di Miri pada 28 September, diikuti Bintulu (5 Oktober), Sibu (12 Oktober), dan acara kemuncak akan berlangsung di Kuching pada 19 Oktober 2025.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai boleh mendaftar secara dalam talian melalui laman media sosial rasmi Bantu di Facebook, Instagram dan TikTok.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Tuan Lamat Nyalau.
Oleh Norman B.