MUNGKINKAH Sarawak akan menjadi pengeluar pesawat terbang terkemuka di rantau ini? Pertanyaan ini mungkin sesuatu yang terlalu berangan-angan.
Namun perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan akan menjadikan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu sebagai pusat latihan ilmu penerbangan selain mahu menubuhkan Fakulti Aeroangkasa di Kolej Universiti i-CATS.
Sekalipun kita sedar, cabaran ini akan mengambil masa dan pelaburan yang pastinya besar, namun impian ini perlu bermula dengan langkah jelas dan realistik. Penubuhan pusat pengajian dan latihan yang memberikan pengkhususan dalam bidang aeroangkasa ini memberikan suatu peluang besar kepada anak-anak Sarawak untuk terlibat secara langsung dalam projek berimpak tinggi.
Bidang aeroangkasa ini sangat luas kerana ia melibatkan segala perkara yang berkaitan dengan ruang atmosfera bumi dan angkasa lepas. Selain itu aeroangkasa turut meliputi pembangunan tekkologi baharu dalam mereka bentuk pesawat atau roket selain pengupayaan penyelidikan dalam sistem komunikasi dan navigasi, penciptaan bahan baharu termasuk aktiviti penyelenggaraan, pengubahsuaian dan pengeluaran komponen pesawat. Oleh itu, bidang ini memerlukan ramai orang yang berkemahiran dan berkepakaran dalam pelbagai displin ilmu bagi melengkapkan satu-satu ciptaan.
Komitmen Sarawak menyediakan pekerjaan
Apabila kerajaan Sarawak tekad membangunkan pusat-pusat pengajian ini pastinya turut meletakkan komitmen untuk menyediakan pekerjaan berkaitan dalam bidang aeroangkasa. Jika tidak, graduan-graduan yang ada ini kelak, tidak hanya akan menambah statistik pengangguran sedia ada, malah merugikan sumber daya manusia yang telah dilatih dengan kemahiran khusus.
Bagi graduan berkelulusan sarjana muda, kerajaan Sarawak perlu menyediakan kilang pembuatan atau pemasangan selain pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membolehkan mereka memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari.
Dengan ada kilang pembuatan atau pemasangan, graduan dapat terlibat dalam pelbagai aspek proses pengeluaran pesawat bermula dengan pemasangan komponen hingga ujian akhir. Contohnya, Airbus dan Boeing mempunyai kilang yang membuat komponen sehingga siap pemasangan. Fasiliti seperti ini dapat memberi peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang seperti jurutera struktur, sistemavionik, juruanalisis data penerbangan dan lain-lain.
Selain itu, pusat penyelidikan dan pembangunan akan menjadi platform bagi graduan untuk terlibat dalam inovasi teknologi baharu dalam industri aeroangkasa. Mereka boleh bekerja dalam pembinaan dron dan sistem avionik yang canggih seperti di syarikat Thales Group dan Honeywell Aerospace yang mengkhusus dalam penyelidikan dan pengembangan teknologi penerbangan.
Seiring dengan itu, CENTEXS Lundu perlu didaftarkan dibawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia(CAAM) sebagai Organisasi Latihan Penyenggaraan (MTO) bagi melahirkan jurutera penyelenggaraan pesawat. Hal ini kerana ketetapan oleh CAAM adalah berbeza dengan apa yang dilalui oleh graduan di pengajian tinggi dalam memperaku kemahiran jurutera penyelenggaraan pesawat.
Mereka ini boleh meneruskan pekerjaan dalam syarikat penerbangan Sarawak kelak selain syarikat penerbangan lain di seluruh dunia.
Dengan ini, Sarawak boleh menarik pelaburan dari syarikat-syarikat antarabangsa yang ingin memanfaatkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan dalam bidang ini. Maka peluang sebegini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi tempatan.
Kerjasama dengan Turkiye
Premier Sarawak pada masa sama turut memaklumkan Sarawak akan bekerjasama dengan Turkiye dalam bidang aeroangkasa. Dengan kerjasama ini, Sarawak akan mendapat akses kepada teknologi canggih dan kepakaran dari Turkiye yang terkenal dengan kejayaan mereka dalam pembangunan pesawat terbang, helikopter, dron dan teknologi angkasa lepas.
Kerjasama ini juga boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan industri aeroangkasa di Sarawak yang mempercepatkan proses pemindahan teknologi dan meningkatkan keupayaan teknikal tenaga kerja tempatan. Turkiye melalui Turkish Aerospace Industries (TAI) telah membuktikan keupayaannya dalam pembangunan pelbagai jenis pesawat dan teknologi penerbangan canggih. Helikopter tempur T129 ATAK, pesawat latihan HURKUS dan pesawat tanpa pemandu Akinci UAV adalah antara contoh kejayaan TAI termasuklah penguasaan teknologi avionik dan sistem integrasi.
Turkiye juga telah berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam perlumbaan aeroangkasa global melalui program angkasa lepas dan satelit. Pelancaran satelit Göktürk dan TÜRKSAT adalah contoh kejayaan Turkiye dalam teknologi satelit.
Cabaran dan potensi masa depan
Namun terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi bagi merealisasikan hal ini. Antaranya ialah pembangunan infrastruktur yang mencukupi dan lengkap. Infrastruktur yang baik adalah asas kepada perkembangan industri yang mapan. Sarawak perlu memastikan bahawa kemudahan seperti lapangan terbang, hangar dan kemudahan penyelenggaraan pesawat dibangunkan dan diselenggara dengan baik.
Perkara ini memerlukan pelaburan besar dan perancangan teliti untuk memastikan setiap elemen infrastruktur dapat menyokong keperluan industri aeroangkasa. Persaingan global dalam industri aeroangkasa juga merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi. Negara maju seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China mempunyai industri aeroangkasa yang sangat maju dan telah lama bertapak.
Sarawak perlu memastikan bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah setanding atau lebih baik dari segi kualiti dan kos supaya dapat bersaing dan kekal relevan. Hal ini memerlukan inovasi berterusan dan peningkatan kecekapan dalam semua aspek operasi. Proses pemindahan teknologi yang berkesan juga merupakan satu lagi cabaran besar. Pemindahan teknologi bukan sahaja melibatkan pembelian peralatan atau teknologi tetapi juga pengetahuan dan kemahiran.
Latihan dan pendidikan yang berterusan adalah penting untuk memastikan pemindahan teknologi yang berjaya. Sarawak perlu memastikan bahawa tenaga kerja tempatan dilatih dengan baik dan mempunyai akses kepada pengetahuan terkini dalam industri aeroangkasa. Menurut Boeing, industri aeroangkasa global dijangka mencapai nilai pasaran sekitar AS$9.1 trilion dalam tempoh dua dekad akan datang dengan peningkatan permintaan untuk pesawat komersial dan teknologi angkasa lepas.
Hal ini memberikan peluang besar kepada Sarawak untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan ini. Dengan kerjasama strategik dan pelaburan berterusan, Sarawak boleh menjadi hab penting dalam industri aeroangkasa di rantau ini.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.