
BAU: Sempena sambutan Hari Gawai yang menjelang tiba, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep tampil menyalurkan sumbangan duit Gawai kepada para pesakit di Hospital Bau, hari ini.
Beliau meluangkan masa menziarahi pesakit di wad lelaki, wad perempuan, wad bersalin dan wad kanak-kanak sambil menyerahkan sumbangan duit Gawai.

Sumbangan itu bukan sahaja bertujuan menceriakan suasana pesakit menjelang perayaan, malah sebagai tanda keprihatinan beliau terhadap komuniti setempat yang memerlukan.
“Walaupun mereka menyambut Gawai dalam suasana yang serba sederhana di hospital, saya harap sumbangan kecil ini dapat memberi kegembiraan dan semangat kepada mereka serta keluarga,” ujarnya.
Beliau turut meluluskan peruntukan untuk memasang seunit penghawa dingin baharu di bilik rawatan wad kanak-kanak bagi menggantikan unit lama yang telah rosak.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan kepada Hospital Bau daripada Pertubuhan Rotary Bandar Kuching dengan kerjasama The Malaysian Church of Jesus Christ Of Latter-day Saints.
-UKAS