Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • ADUN Tamin umum peruntukan RM330,000 perkukuh pendidikan luar bandar
  • PENDIDIKAN

ADUN Tamin umum peruntukan RM330,000 perkukuh pendidikan luar bandar

Utusan Sarawak 1 day ago
TAHNIAH…Gira (lapan dari kiri, belakang) merakam kenangan bersama pelajar cemerlang SPM dan STPM bagi sesi 2023/2024 semalam. Foto DUN Tamin

ADUN Tamin umum peruntukan RM330,000 perkukuh pendidikan luar bandar

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa institusi pendidikan di kawasan luar bandar, khususnya di DUN Tamin, dalam usaha melahirkan modal insan berdaya saing.

Beliau berkata pendidikan merupakan asas penting dalam membangunkan masyarakat lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman yang masih memerlukan perhatian dalam pelbagai aspek.

“Majlis hari ini bukan sekadar pertemuan tahunan tetapi simbol kepada semangat kolektif dalam membina masa depan pendidikan yang lebih cerah dan inklusif khususnya di kawasan luar bandar Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar No 1 Sibu bagi tahun 2025, semalam.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai bekas pelajar sekolah tersebut pada tahun 1987 hingga 1988, sebelum melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi MARA kini Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan seterusnya ke University of Glasgow, United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Awam.

“Sekolah inilah yang menjadi titik mula perjalanan hidup saya kerana kita mampu mengubah masa depan kita dengan pendidikan yang kita ada,” ujarnya.

Bagi memperkukuh ekosistem pendidikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin, beliau mengumumkan beberapa inisiatif termasuk peruntukan RM30,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada PIBG sekolah itu untuk pelaksanaan program pembangunan pelajar serta kebajikan sekolah.

Selain itu, katanya sebanyak RM300,000 diperuntukkan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembinaan gelanggang serbaguna berbumbung yang akan dimanfaatkan untuk aktiviti sukan, kokurikulum dan majlis rasmi sekolah.

“Ini bukan sekadar projek fizikal tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembentukan insan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan jasmani,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian terhadap beberapa isu asas yang dihadapi sekolah berkenaan termasuk tekanan air rendah yang akan dirujuk kepada Lembaga Air Sibu (LAS) untuk tindakan segera.

Bagi isu akses internet yang lemah sehingga menjejaskan pembelajaran digital dan pelaksanaan program sekolah, Gira berkata perkara itu telah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) dan kementerian berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Akses kepada internet bukan lagi kemudahan tambahan, ia kini satu keperluan asas dalam pendidikan,” tegasnya.

Oleh Tarani Lanting

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Tiga pelajar UTM cipta mesin pencetak layan diri 24 jam
Next: Teknologi AI pelengkap pendidikan masa kini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.