
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan perbuatan buli, khususnya di institusi pendidikan dan latihan belia.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden buli yang berlaku baru-baru ini di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, membabitkan seorang pelajar yang dipukul oleh rakan-rakan sebaya dalam kejadian yang tular di media sosial.
“Buli bukanlah gurauan, sebaliknya ia satu pencabulan terhadap maruah, keselamatan dan nilai yang kita tanamkan dalam generasi masa depan. IKBN sepatutnya menjadi tempat membina masa depan, bukan medan trauma,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, beliau menyokong penuh tindakan tegas yang diumumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) termasuk penggantungan atau pemecatan pelaku, selain menekankan siasatan perlu dijalankan secara telus, adil dan segera.
Gira turut menggesa agar semua institusi di bawah Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) melaksanakan kerangka pencegahan buli yang menyeluruh, termasuk sistem mentor rakan sebaya, pendidikan moral dan pendekatan keadilan restoratif.
“Pemimpin komuniti dan pendidik juga harus memperkukuh nilai empati, hormat dan disiplin berasaskan budaya tempatan, khususnya di Sarawak yang kaya dengan warisan perpaduan dan saling menghormati,” ujarnya.
Selain itu, beliau menggesa organisasi belia agar memimpin kempen kesedaran serta bengkel literasi digital bagi menangani isu buli fizikal dan siber.
Katanya, negara ini juga boleh meneladani amalan terbaik dari luar seperti pelaksanaan Kokoro no kyoiku (pendidikan hati) di Jepun, bulatan restoratif di Finland, serta Pendidikan Watak dan Kewarganegaraan di Singapura.
Sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Gira menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam memastikan belia, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar, sentiasa dilindungi serta diperkasa.
“Biarlah insiden ini menjadi panggilan kesedaran untuk kita membina institusi yang selamat, inklusif dan mengilhamkan setiap pelajar untuk berkembang dengan yakin dan bermaruah,” jelasnya.
Oleh Tarani Lanting