KOTA SAMARAHAN: Usaha memelihara rumah ibadat serta kawasan perkuburan berserta penyediaan infrastruktur yang selesa terus menjadi keutamaan demi memastikan warisan berkenaan dapat terus dimanfaatkan oleh generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim berkata, tempat ibadat dan tapak perkuburan bukan sekadar mempunyai nilai keagamaan yang tinggi, malah merupakan bahagian penting daripada warisan komuniti yang perlu dijaga dengan rapi.
Beliau menyatakan perkara demikian selepas meluangkan masa mengadakan lawatan ke Tokong Wan Chou Shan serta Tapak Pemuliharaan Perkuburan yang terletak di Batu 12, Jalan Kuching-Serian dekat sini, semalam.
Lawatan kerja tersebut bertujuan untuk melihat sendiri keadaan semasa di kawasan berkenaan di samping mendengar penjelasan secara terperinci daripada pihak pengurusan yang mengendalikannya.

Sepanjang sesi lawatan itu, beliau telah diberikan penerangan mengenai latar belakang sejarah tokong serta peranan penting tempat berkenaan kepada komuniti setempat.
Pihak pengurusan turut berkongsi pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan bagi memastikan kawasan perkuburan sentiasa berada dalam keadaan yang teratur, bersih, dan selesa untuk semua pengunjung.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penyediaan kemudahan asas dan infrastruktur yang lebih baik amat penting bagi memberikan keselesaan optimum kepada masyarakat yang hadir ke situ.
Sebagai tanda sokongan padu terhadap usaha berterusan pihak pengurusan, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi tujuan pembinaan serta penaiktarafan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Beliau meletakkan harapan agar peruntukan bernilai RM50,000 itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan kemudahan untuk kegunaan para pengunjung dan penduduk sekitar.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan Pertubuhan Pemujaan Chung Ling atas jemputan serta perkongsian maklumat yang bermanfaat sepanjang program itu berlangsung.
Sesi lawatan berkenaan turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Pemujaan Chung Ling, Datuk Kung Chai Sing, Dato Yung Kun Xian, Datuk Jacky Chai, Temenggong Dato Tan Joo Poi, Sih Hua Tong serta Timbalan PBB Cawangan Stakan, Tuah Jini.
Oleh Adi Safarman





