SIMUNJAN: Seramai 76 orang mangsa banjir yang terdiri daripada 27 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mesra Simunjan, setakat ini.
Sementara itu, jalan utama ke Kampung Simunjan Jaya yang terjejas dilaporkan masih terputus hubungan akibat banjir.
Mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan melibatkan penduduk dari Kampung Simunjan Jaya, Kampung Sungai Raya, Kampung Hijrah Fasa 1, Kampung Hijrah Fasa 2, Kampung Lintang Hijrah dan Jalan Tun Openg.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dalam tinjauan, memantau situasi banjir yang melanda kawasan Simunjan akibat hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu turut melawat beberapa kawasan yang terjejas teruk termasuk PPS yang menempatkan penduduk yang dipindahkan akibat banjir.
Lawatan ini bertujuan menilai tahap kerosakan, mengenal pasti keperluan mendesak mangsa banjir serta memastikan segala bentuk bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan segera.
Menurutnya, keadaan banjir ini memerlukan tindakan pantas daripada semua pihak dan beliau komited untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
“Kami akan memastikan setiap mangsa menerima bantuan yang diperlukan termasuk makanan, keperluan asas dan rawatan perubatan jika diperlukan.
“Keselamatan penduduk adalah keutamaan kami,” katanya ketika ditemui selepas melawat salah satu PPS di kawasan tersebut.
Penduduk juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa terutama mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko tinggi.
Keadaan cuaca dijangka masih tidak menentu dalam beberapa hari akan datang dan Awla turut menyeru agar komuniti setempat bersatu padu dalam menghadapi cabaran ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Sabli Razak, Leftenan (PA) Mohd. Elyas Abdul Rhanie dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Simunjan, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Simunjan, Rosita Poni dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Simunjan, Jamil Semoni.