
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Daerah Lundu yang baharu, Superintenden Sudirman Kram dalam satu pertemuan yang berlangsung di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar, hari ini.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh beberapa pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu dan bertujuan memperkukuhkan hubungan serta kerjasama strategik antara pihak polis dan wakil rakyat sekali gus meningkatkan usaha memelihara keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan Lundu.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai isu semasa yang melibatkan kawasan Opar termasuk perkembangan terkini dalam Daerah Lundu, isu keselamatan sempadan negara, kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah yang memerlukan tindakan bersepadu serta penyelesaian berkesan.
Beliau menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pihak polis dalam memastikan keselamatan dan keamanan masyarakat setempat terus terpelihara, serta menyatakan komitmen beliau untuk terus bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan demi kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut.
-UKAS