
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang telah menyerahkan tapak bagi enam Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang berada di bawah seliaan Majlis Daerah Bau dan Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Kuching, hari ini.
Tiga projek di bawah Majlis Daerah Bau melibatkan pembinaan parit dari balai raya ke Sungai Gronong, Kampung Opar, pembinaan baru lorong pejalan kaki menuju ke Gereja Kampung Rumih dan pembinaan tempat menunggu berbumbung bagi menurunkan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) St Teresa, Kampung Stenggang.
Manakala, tiga lagi projek yang diserahkan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Kuching melibatkan pembinaan sistem perparitan baru di Kampung Senibong, Kampung Rukam dan Kampung Titiakar.
Kesemua projek ini menelan belanja keseluruhan sebanyak RM530,000 dan dijangka dapat meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan penduduk di kawasan terbabit.
-UKAS