
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah melakukan tinjauan dan pemeriksaan akhir ke atas tiga tapak projek jalan pertanian yang sedang dilaksanakan di kawasan Lundu, hari ini.
Projek-projek tersebut berada di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Kuching dan dibiayai melalui inisiatif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Tiga projek berkenaan melibatkan naik taraf jalan pertanian dari Kampung Pasir Tengah ke Batu Wangkang di Kampung Pasir Tengah yang bernilai RM400,000, pembinaan baharu jalan pertanian di Kampung Opek dengan kos sebanyak RM700,000, serta naik taraf jalan pertanian di kawasan Tigowan, Kampung Stungkor Lama yang bernilai RM500,000.

Jelasnya, kesemua projek ini bertujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur luar bandar khususnya dalam memperbaiki akses ke kawasan pertanian bagi memudahkan urusan harian para petani serta memperkasakan pertumbuhan ekonomi setempat.
Sebelum itu, beliau turut melakukan lawatan ke tapak projek bina baru jalan pertanian di Kampung Sebako 2 yang dilaksanakan oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
Menerusi lawatan ini, beliau menegaskan bahawa beliau akan terus memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan Opar agar setiap peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
–UKAS