
BINTANGOR: Sebanyak 186 rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong telah dilawati oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing selama 28 hari.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua tuai rumah dan penduduk rumah panjang kerana menjemputnya melawat ke rumah panjang setiap tahun setibanya musim perayaan Gawai Dayak.
“Terima kasih juga kepada ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor yang sentiasa menemani saya untuk menghabiskan jadual lawatan pada setiap tahun.
“Hari ini adalah hari terakhir lawatan saya di rumah panjang sempena perayaan Gawai Dayak tahun ini.
“Sepanjang lawatan, saya sangat gembira dengan sambutan yang diberikan oleh tuai rumah dan penduduk rumah panjang,” katanya yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor ketika ditemui media semasa lawatan ke beberapa buah rumah panjang kawasan Meradong, baru-baru ini.
Tambahnya, beliau akan berusaha memohon dana daripada kerajaan Sarawak melalui kelulusan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) khas, Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan projek Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) agar dapat menaik taraf prasarana di rumah panjang.
Koung Hiing turut menggesa kepada para tuai rumah dan penduduk rumah panjang supaya mengadakan perbincangan terlebih dahulu untuk sebarang permohonan dan menghantar surat permohonan ke Pusat Khidmat Wakil Rakyat Meradong.
Pada hari sama, beliau bersama rombongan SUPP Cawangan Bintangor turut menghadiri majlis perkahwinan di Rumah Sampar, Ulu Stras.
Oleh Earl Anek