
MALUDAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor telah menziarahi serta menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Baru, hari ini, sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib yang menimpa penduduk terlibat.
Beliau berkata, kejadian kebakaran yang berlaku baru-baru ini melibatkan dua buah rumah yang mengalami kerosakan pada struktur bangunan serta pendawaian elektrik.

Menurutnya, insiden tersebut turut menyebabkan empat mangsa mengalami kecederaan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan keadaan itu amat disyukuri.
Sejurus tiba di lokasi, Dayang Noorazah meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa yang terlibat serta bertanya khabar mengenai keadaan mereka selepas melalui detik mencemaskan itu.
Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga terjejas, beliau turut menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan selain menitipkan kata-kata semangat agar semua mangsa terus tabah menghadapi ujian berkenaan.

Dalam pada itu, Tuai Rumah kawasan berkenaan memaklumkan kebakaran berjaya dikawal dengan cepat hasil tindakan pantas penduduk yang menggunakan alat pemadam api.
Tindakan segera itu berjaya mengelakkan api daripada merebak ke rumah-rumah berhampiran sekali gus mengurangkan risiko kerosakan yang lebih besar.
Dayang Noorazah berharap segala urusan mangsa dipermudahkan dan bantuan sewajarnya dapat terus disalurkan bagi membantu meringankan beban mereka.
Selain itu, penduduk turut memohon agar beberapa unit alat pemadam api dapat disediakan sebagai simpanan komuniti bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan pada masa hadapan.
Oleh Adi Safarman