
SIMANGGANG: Keprihatinan terhadap nasib mangsa kebakaran yang menimpa sekeluarga di Taman Sentosa Indah, Lorong 1 baru-baru ini mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor tampil menyalurkan sumbangan kepada mangsa yang terjejas.
Dayang Noorazah berkata, kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan sumbangan serta memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa yang sedang melalui saat sukar selepas tragedi kebakaran yang mengorbankan seorang kanak-kanak.
Menurut beliau, sumbangan itu diharap dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa selain menunjukkan bahawa masyarakat dan pemimpin setempat sentiasa prihatin terhadap nasib mereka.
Dalam kunjungan tersebut, Dayang Noorazah turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran, Dayang Siti Mahfuzah Abang Mohd Sanwani yang mengalami kecederaan pada kaki dalam kejadian berkenaan.
Mangsa juga berdepan ujian berat apabila bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah turut kehilangan anak tersayang serta masih bersedih dengan pemergian bapanya baru-baru ini.
Dayang Noorazah turut menyampaikan kata-kata semangat serta sokongan moral agar mangsa terus tabah dan kuat menghadapi dugaan yang menimpa dirinya serta keluarga.
Beliau berharap agar mangsa diberikan kekuatan dan segala urusan dipermudahkan dalam usaha untuk bangkit semula selepas tragedi yang berlaku.
Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas ditemui rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Taman Sentosa Indah, Lorong 1, awal pagi 7 Mac lalu.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian yang berlaku sekitar 3.00 pagi itu melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang terbakar hampir sepenuhnya.
Mangsa kanak-kanak ditemui rentung di tingkat atas rumah tersebut oleh pasukan penyelamat selepas kebakaran berjaya dikawal.
Dalam kejadian itu, lima lagi ahli keluarga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan melecur ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran tersebut.
Dua mangsa dewasa iaitu seorang lelaki berusia 65 tahun dan seorang wanita berusia 41 tahun mengalami kecederaan melecur serius di seluruh badan, manakala tiga lagi mangsa termasuk dua remaja berusia 13 dan 15 tahun mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki.
Oleh Adi Safarman