KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu dan ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam, masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Perkara ini diumumkan pada mesyuarat BDDA yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Uggah turut mengumumkan penubuhan beberapa jawatankuasa kecil bagi memantapkan agensi itu dalam usaha melaksanakan pelbagai rancangan dan program pembangunannya.
Dengan itu, Rentap ditugaskan untuk menjaga jawatankuasa kecil pembangunan infrastruktur, manakala Mohammad Razi akan mengendalikan jawatankuasa kecil sosial.
ADUN Kabong Mohd Chee Kadir pula akan menjaga pelancongan, ADUN Beting Maro Razaili Gapur (pembangunan bangunan dan usahawan), ADUN Krian Friday Belik (pertanian) manakala ADUN Kalaka Mohamad Duri (utiliti).
Sementara itu, ADUN Lingga Dayang Noorah Awang Sohor akan menjaga jawatankuasa kecil wanita.
Hadir sama pada mesyuarat itu, Ahli Parlimen Betong yang baru dipilih Dr. Richard Rapu, Ketua Pegawai Eksekutif BDDA Abang Muhammad Turki dan Residen Betong Richard Micheal Abunawas.
Oleh Mohd Neenatul Aizal