
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berbangga serta merakamkan tahniah kepada kejayaan cemerlang dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 kepada Kolej Tingkatan Enam Saratok.
Beliau berkata keputusan peperiksaan STPM 2024 bagi Kolej Tingkatan Enam Saratok amatlah cemerlang di mana kesemua 186 orang pelajar telah lulus 100 peratus dan layak mendapat sijil penuh.
“Manakala dari segi Gred Purata Sekolah (GPS) mereka mendapat 2.99 mata (0.01 mata kurang dari sasaran 3.00 mata) dan tiga orang pelajar memperolehi 4A penuh.
“Syabas dan tahniah kepada kesemua 186 pelajar dan jutaan terima kasih kepada Pengetua Kolej Tingkatan Enam Saratok, Omar Sharif serta semua barisan guru atas komitmen, kesungguhan dan pengorbanan anda semua,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Penyerahan Slip Keputusan Peperiksaan STPM tahun 2024 kepada 186 orang pelajar di Kolej Tingkatan Enam Saratok semalam.
Friday berkata kejayaan ini bukan sahaja menjadi penanda aras baharu untuk Kolej Tingkatan Enam Saratok, malah membuktikan bahawa dengan usaha gigih dan semangat yang tidak pernah luntur, kejayaan pasti menjadi milik kita.
“Saya amat yakin dan percaya bahawa Kolej Tingkatan Enam Saratok akan terus melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berwibawa dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.
“Tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat. teruskan kecemerlangan ini. Kolej Tingkatan Enam Saratok hebat,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman