
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik menerima kunjungan hormat daripada Kelab Tinju Joseph Harry (JHBC) Saratok di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Krian, hari ini.
Kunjungan itu diketuai oleh Joseph Harry selaku Pengerusi dan Ketua Jurulatih kelab, yang turut berkongsi pencapaian serta hala tuju sukan tinju di daerah ini.
Friday dimaklumkan, JHBC yang telah lama ditubuhkan itu masih aktif melatih generasi muda termasuk belia dan beliawanis, sekali gus menjadi platform melahirkan atlet berbakat di Saratok.
Antara kejayaan membanggakan kelab itu ialah melahirkan peninju handalan, Jackson Chambai Ikeh yang pernah merangkul pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) selain menjuarai beberapa kejohanan di peringkat negeri.
Dalam pertemuan itu, Friday bersama JHBC turut berbincang mengenai program latihan, perancangan serta usaha mengenal pasti pelatih baharu yang berpotensi diketengahkan di Sukan Sarawak (SukSar) dan Sukma akan datang.
Friday menegaskan komitmen beliau untuk membantu kelab dalam meneruskan aktiviti serta memperkukuh pembangunan sukan tinju agar terus berkembang positif di Saratok.
“Syabas dan tahniah kepada JHBC. Teruskan perjuangan dan semoga lebih ramai atlet dalam sukan tinju lahir dari Saratok,” katanya.
Oleh Adi Safarman