
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik telah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Saratok dan pesakit di Hospital Saratok sempena sambutan Hari Gawai Dayak, semalam.
Menurut beliau, program kebajikan tersebut dianjurkan oleh Pergerakan Wanita Parti Demokratik Progresif (PDP) Krian sebagai usaha menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan dan perhatian.
Katanya, program itu turut mencerminkan semangat perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Saratok, sebanyak 31 hamper bakul makanan telah diserahkan kepada para pelatih yang mengikuti latihan di pusat berkenaan.
Friday berkata, sumbangan tersebut diharap dapat memberi sedikit kegembiraan kepada para penerima dalam membuat persiapan menyambut Hari Gawai tidak lama lagi.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama pelatih serta petugas pusat berkenaan bagi menyuntik semangat dan motivasi kepada mereka.

Turut hadir ialah Penyelaras Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Saratok Bahagian Betong yang mewakili Pegawai Kebajikan Bahagian Betong, Nurul Syuhada bersama staf serta Penghulu Josephine Entira
Selepas selesai program di PDK Saratok, rombongan berkenaan meneruskan program kebajikan ke Hospital Daerah Saratok bagi menyampaikan hamper kepada pesakit yang sedang menerima rawatan di wad hospital tersebut.
Menurut Friday, sumbangan itu merupakan tanda sokongan dan keprihatinan terhadap pesakit yang tidak dapat menyambut Hari Gawai bersama keluarga masing-masing.
Beliau berharap usaha kebajikan seperti itu akan terus diteruskan pada masa hadapan bagi membantu golongan yang memerlukan serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman