
KRIAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, meneruskan komitmen beliau dalam menjaga kebajikan penduduk luar bandar dengan mengadakan siri lawatan kerja ke kawasan Ulu Gerenjang dan Ulu Krian, baru-baru ini.
Lawatan berkenaan menyaksikan beliau meluangkan masa berkunjung ke Rumah Jungan, Nanga Long di Ulu Gerenjang sebelum meneruskan agenda ke Rumah Ilai, Nanga Entaih yang terletak di kawasan Ulu Krian pada sebelah petang.
Menurut beliau, inisiatif turun padang ini bertujuan untuk bertemu secara bersemuka dengan penduduk setempat bagi melihat sendiri keadaan semasa serta mendengar denyut nadi rakyat yang menetap jauh di kawasan pedalaman.
Friday menjelaskan bahawa melalui pertemuan tersebut, beliau dapat merasai sendiri cabaran yang dihadapi penduduk dari segi kelestarian hidup, tahap kesejahteraan serta pelbagai kekangan infrastruktur yang membelenggu komuniti di sana.
”Saya amat bersyukur kerana melalui ruang dan peluang ini, banyak masalah serta rintihan rakyat dapat kita dengar dan cuba selesaikan dengan segera demi keselesaan mereka,” katanya.

Dalam siri lawatan itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 khusus buat penduduk Rumah Jungan bagi tujuan membaik pulih serta memperkukuhkan struktur rumah panjang tersebut yang kini dianggarkan berusia lebih 100 tahun.
Selain itu, keprihatinan yang sama turut diberikan kepada penduduk di Rumah Ilai, Nanga Entaih dengan penyaluran peruntukan tambahan RM100,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan rumah panjang mereka.
Langkah proaktif ini diharapkan dapat menaik taraf kualiti hidup penduduk di kawasan Krian, sekali gus memastikan warisan rumah panjang yang ikonik dan bersejarah itu kekal selamat untuk didiami oleh generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman