
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berharap agar cadangan pembinaan Pusat Pentadbiran baharu di Daerah Kecil Nanga Budu dapat dipercepatkan pelaksanaannya demi kepentingan masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri sesi Libat Urus berkaitan projek tersebut bagi mendapatkan laporan dan status terkini di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, kelmarin.
“Kita amat mengharapkan projek ini dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin demi kepentingan dan kemegahan penduduk di Krian yang sudah sekian lama menunggu.
“Dengan wujudnya Pusat Pentadbiran baharu ini kelak, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan infrastruktur dan sosioekonomi yang lebih pesat serta mampan di kawasan ini.
“Ia juga setimpal dengan status Nanga Budu sebagai sebuah daerah kecil,” jelasnya.
Friday menegaskan, Pusat Pentadbiran baharu itu amat penting bukan sahaja sebagai pusat pengurusan, malah sebagai simbol pembangunan dan kemajuan masyarakat di Nanga Budu.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Mohamad Dino Amid, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Betong, Hamdan Katang, Pegawai dari Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Nanga Budu, Hatta Adenan serta pemimpin masyarakat termasuk Penghulu Anyom Kinyih dan Penghulu Dickson Chendang.
Oleh Adi Safarman