
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik menggesa semua penerima Projek Kecil Luar Bandar (MRP) agar menggunakan peruntukan yang diterima dengan sebaik mungkin demi kebaikan dan faedah penduduk rumah panjang serta ahli persatuan masing-masing.
Beliau menegaskan bahawa setiap sumbangan yang disalurkan kerajaan adalah bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar serta memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi.
“Gunakan peruntukan ini untuk memperkukuh kemudahan masyarakat, memperbaiki infrastruktur dan menggalakkan aktiviti sosial yang menyatupadukan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan cek MRP fasa dua bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian di Pusat Khidmat ADUN Krian, hari ini.

Sebanyak 20 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dua persatuan, satu gereja serta sebuah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing menerima cek peruntukan tersebut.
Selain itu, dua cek turut diserahkan kepada dua buah gereja di bawah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM498,000.
Beliau berharap agar penerima memastikan setiap sen digunakan dengan telus dan memberi manfaat langsung kepada komuniti, bukan hanya untuk tujuan jangka pendek tetapi juga bagi pembangunan berterusan kawasan masing-masing.
Majlis penyerahan ringkas itu turut dihadiri oleh wakil Pegawai Daerah Saratok, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas serta Ketua Masyarakat dari kawasan DUN Krian.
Oleh Adi Safarman