
TEBEDU: Peranan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sangat penting dalam menjamin kemajuan kampung, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben.
Bercakap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini semalam, beliau turut mengumumkan peruntukan RM5 juta daripada Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi projek jalan baharu dari Muara Ahi, Getsemene ke Terbat Mawang yang dijangka ditender tahun ini.
“Jalan alternatif ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk dan membuka peluang ekonomi melalui pembangunan tanah sepanjang laluan tersebut,” katanya.
Beliau turut menyerahkan sumbangan peribadi kepada warga emas berumur 70 tahun ke atas, sambil menyatakan harapan agar sambutan Gawai kali ini membawa keberkatan kepada seluruh komuniti.
Hadir sama wakil Residen Bahagian Serian, Mohd Nazien Mayaddin, Temenggong Henry Bujang Senden dan Pemanca Kane Manung.
-UKAS