
SARATOK: Keperluan mendesak untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat bagi penduduk Kampung Hulu Saratok mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) baru-baru ini.
Menurut beliau, respons positif daripada KKDW memberi harapan baharu kepada masyarakat setempat yang sekian lama memerlukan akses jalan lebih baik bagi memudahkan urusan harian, termasuk ke sekolah, tempat kerja dan kemudahan asas lain.
Mohamad berkata demikian ketika bersama rombongan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Saratok, Jurutera Awam Sharul Hisyam Ali serta pegawai-pegawai daripada KKDW meneruskan lawatan kerja ke Kampung Hulu Saratok bagi meninjau keadaan semasa laluan berkenaan.

Katanya, Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) yang dicadangkan itu merupakan inisiatif penting di bawah KKDW yang bertujuan meningkatkan akses, keselamatan dan keselesaan penduduk luar bandar, khususnya di kawasan terpencil.
Beliau menegaskan bahawa permohonan laluan baharu itu dibuat selepas mengambil kira keperluan masyarakat kampung yang berdepan risiko menggunakan laluan sedia ada, terutama ketika musim hujan atau keadaan darurat.

“Melihat kepada keperluan mendesak laluan alternatif ini, saya telah membuat permohonan kepada pihak KKDW dan Alhamdulillah, kami menerima maklum balas yang positif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Pusat Khidmat ADUN Kalaka sentiasa menyokong dan membantu memohon peruntukan bagi setiap permohonan pembangunan yang dikemukakan oleh masyarakat di kawasan berkenaan, sekali gus memastikan setiap keperluan rakyat diberi perhatian sewajarnya.
Oleh Adi Safarman