
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet berbasikal kelahiran Kampung Melango, Saratok, Nur Ain Ramadhania Abdullah atas kejayaan cemerlang dipilih sebagai Olahragawati Harapan Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.
Nur Ain Ramadhania diumum sebagai Olahragawati Harapan SUKSAR IV 2026 semasa Majlis Penangguhan SUKSAR IV 2026 yang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Menurut Mohamad Duri, pengiktirafan tertinggi itu membuktikan bahawa bakat-bakat sukan dari Daerah Saratok tidak boleh dipandang rendah oleh mana-mana pihak dalam arena sukan negeri.
Kejayaan ini katanya sekali gus mengukuhkan reputasi Saratok sebagai ‘lubuk’ penting dalam melahirkan jaguh sukan yang mampu bersaing hebat, sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
”Tahniah kepada Olahragawati Harapan SUKSAR IV 2026, Nur Ain Ramadhania Abdullah yang telah mengharumkan nama Daerah Saratok menerusi pencapaian yang sangat membanggakan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, komitmen untuk memartabatkan sukan berbasikal di kawasan tersebut telah dimulakan lebih awal melalui penyediaan prasarana yang kondusif buat para atlet.
Sebagai bukti sokongan, Mohamad Duri sebelum ini telah membantu Kelab Berbasikal Saratok (SCC) dengan menyediakan tempat latihan yang lebih sempurna melalui projek naik taraf prasarana sukan.
Kemudahan tersebut dibiayai melalui dana projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2025 berjumlah RM200,000 yang kini telah siap sepenuhnya bersebelahan dengan Gelanggang Futsal LAKIS.
Untuk rekod, Daerah Saratok telah dipilih oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sebagai Pusat Pembangunan Sukan Berbasikal di Sarawak sejak dua tahun lalu.
Kelab Berbasikal Saratok (SCC) pula merupakan sebuah kelab yang sangat aktif dan kerap menyertai pelbagai kejohanan di luar daerah selain gigih menganjurkan aktiviti tempatan.
Usaha berterusan kelab tersebut berjaya menarik minat ramai pelajar dan golongan belia di Saratok untuk terlibat secara serius dalam bidang sukan, khususnya sukan berbasikal.
Mohamad Duri menegaskan bahawa beliau mahu sukan berbasikal terus diperhebatkan agar potensi besar yang ada pada anak muda tempatan dapat digilap sepenuhnya.
Dengan status Saratok sebagai pusat pembangunan sukan tersebut, beliau optimis daerah itu mampu melahirkan lebih banyak jagoan bertaraf dunia pada masa hadapan.
Beliau turut menitipkan pesanan agar setiap usaha pembangunan bakat harus dimulakan seawal mungkin bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan atlet.
”Apa yang penting, disiplin dan keazaman tinggi perlu dikekalkan untuk mengharumkan nama Saratok, bukan sahaja di peringkat Sarawak atau Malaysia, malah sehingga ke persada antarabangsa,” tegas beliau.
Oleh Adi Safarman