ADUN Kalaka turun padang tinjau SAR kru kapal warga Myanmar

Facebook
WhatsApp
ADUN Kalaka, Mohamad Duri turun padang bagi meninjau perkembangan terkini SAR yang dijalankan oleh anggota penyelamat terhadap kru kapal warga Myanmar yang dilaporkan hilang di kawasan Wharf Batu, Sungai Krian, dekat Pekan Saratok. Foto Pusat Khidmat ADUN Kalaka

SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, hari ini turun padang meninjau secara langsung operasi mencari dan menyelamat (SAR) kru kapal warga Myanmar yang dilaporkan hilang di kawasan Wharf Batu, Sungai Krian, dekat Pekan Saratok.

Mangsa, Thu Htoo Aung, 20, dilaporkan terjatuh dari kapal Moi Soon 2 pada Jumaat lalu dan sehingga kini masih belum ditemui. 

Operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini melibatkan kerjasama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok.

“Semasa tinjauan pagi tadi, saya telah diberikan taklimat mengenai perkembangan operasi, situasi semasa dan kronologi kejadian oleh Pegawai Bomba Kanan II, Nasir Drahman serta Sarjan Mejar Nara Medan bagi pihak IPD Saratok di pos kawalan berhampiran lokasi kejadian,” jelas Mohamad Duri.

ADUN Kalaka, Mohamad Duri turun padang bagi meninjau perkembangan terkini SAR yang dijalankan oleh anggota penyelamat terhadap kru kapal warga Myanmar yang dilaporkan hilang di kawasan Wharf Batu, Sungai Krian, dekat Pekan Saratok. Foto Pusat Khidmat ADUN Kalaka

Menurut beliau, sehingga pagi tadi masih tiada penemuan mangsa. Keluarga mangsa di Myanmar telah dimaklumkan berhubung kejadian yang menyedihkan ini.

Mohamad Duri turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut.

“Saya berharap usaha ini akan membuahkan hasil dalam masa terdekat. Terima kasih kepada pasukan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang telah memberikan komitmen tinggi dalam operasi SAR kali ini,” katanya.

Oleh Adi Safarman