

SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan bahawa bakat dan kesungguhan individu dalam bidang sukan berpotensi besar untuk mengharumkan nama daerah, negeri malah negara di pentas yang lebih tinggi.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan dalam sukan bukan hanya bergantung pada keupayaan fizikal semata-mata, tetapi turut menuntut komitmen, kerjasama dan dedikasi yang tinggi daripada semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian bersempena Kejohanan Sukan Tahunan dan Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Antu, hari ini.
Majlis perasmian kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka.
Dalam majlis tersebut, Kaunselor Kasdi turut menyampaikan amanat ADUN Kalaka yang menekankan kepentingan sukan sebagai medium pembangunan sahsiah dan disiplin pelajar, selain menjadi platform mengasah potensi atlet sejak di bangku sekolah.
Beliau turut menyalurkan dana sebanyak RM10,000 kepada PIBG SK Sungai Antu sebagai sokongan kepada pembangunan sukan serta aktiviti sekolah.
Mohamad Duri turut menyatakan penghargaan kepada pihak sekolah serta PIBG kerana berjaya menganjurkan program yang bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah memberi peluang kepada murid menonjolkan bakat masing-masing dalam suasana yang sihat dan penuh semangat kesukanan.
ADUN Kalaka itu juga merakamkan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk merasmikan program berkenaan, dan berharap kejohanan sukan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi memupuk kecemerlangan pelajar.
Kejohanan Sukan Tahunan SK Sungei Antu tahun ini sekali lagi membuktikan bahawa sekolah luar bandar mampu menjadi tapak awal pencungkil bakat sukan yang kelak berpotensi mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia.
Turut hadir memeriahkan acara Pemangku Guru Besar SK Sungai Antu, Sita Inka serta Yang Dipertua PIBG, Brues Michael Gomez.
Oleh Adi Safarman