
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri bersama Pertubuhan Amal dan Pendidikan Akhlak Ji Yuan Shan She Saratok menziarahi mangsa kebakaran Rumah Panjang Jantun, Nanga Belangau Ulu Krian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Sri Krian, semalam.
Pada kunjungan itu, rombongan telah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa kebakaran. Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Pengerusi Pertubuhan Amal dan Pendidikan Akhlak Ji Yuan Shan She Saratok, Pemanca Lim Guan Ann.
Mohamad Duri turut berkesempatan bertemu dan berbual dengan mangsa bagi mendengar sendiri pengalaman serta keperluan mereka selepas tragedi yang berlaku.

Menurutnya, agensi-agensi yang terlibat telah memberi taklimat mengenai situasi semasa di lokasi kejadian, selain memastikan kebajikan mangsa dipelihara. Pihak Hospital Saratok juga melaksanakan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan kesejahteraan mangsa yang ditempatkan di PPS.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Pejabat Daerah Saratok, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Saratok dan Bahagian Betong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa semangat kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam memastikan bantuan segera sampai kepada mangsa kebakaran, selain mempercepatkan proses pemulihan.
Kebakaran yang menimpa Rumah Panjang Jantun itu bukan sahaja memusnahkan harta benda, malah turut menguji ketabahan penduduk, namun bantuan segera daripada pelbagai pihak diharap dapat meringankan kesukaran yang dihadapi mangsa.
Oleh Adi Safarman