Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • ADUN Kalaka komited sokong pembangunan sukan tinju di Saratok
  • Tengah
  • WILAYAH

ADUN Kalaka komited sokong pembangunan sukan tinju di Saratok

Utusan Sarawak 19 hours ago
ADUN Kalaka menerima kunjungan hormat daripada Kelab Tinju Joseph Harry Saratok, hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kalaka

SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri hari ini menerima kunjungan hormat daripada Kelab Tinju Joseph Harry Saratok di Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka, dalam satu pertemuan yang disifatkan cukup bermakna buat perkembangan sukan tinju di kawasan itu.

Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kelab untuk berkongsi maklumat mengenai pencapaian semasa, perancangan aktiviti, serta program pembangunan bakat yang akan dilaksanakan tahun ini dan 2026.

Kelab yang dahulunya dikenali sebagai Akademi Tinju Saratok (SBA) ini telah aktif sejak 1998, berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok.

Ia memberi tumpuan melatih bakat muda daripada kalangan pelajar sekolah rendah, menengah dan belia yang berminat menyertai sukan tinju.

Antara pencapaian terkini yang dikongsikan adalah kejayaan pasukan dalam Kejohanan Tinju Bakat dan Remaja Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung pada 23 hingga 28 Jun lalu di Dewan MUC, Sibu.

Kelab tersebut juga akan membawa cabaran Saratok ke pentas Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2025 (Edisi Ke-4) yang dijadualkan dari 19 hingga 23 Ogos ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman.

Pasukan bakal diwakili sembilan petinju kategori junior, seorang kategori remaja dan seorang kategori elit.

“Saya menyokong sepenuhnya aktiviti sihat seperti ini. Syabas dan tahniah kepada ketua jurulatih, Joseph Harry, yang menjadi tunjang utama dalam mengangkat nama tinju Saratok, serta seluruh ahli jawatankuasa kelab atas dedikasi dan usaha berterusan mereka,” kata Mohamad Duri.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus membantu dan menyokong program pembangunan sukan, khususnya yang dapat melahirkan bakat baharu dan mengharumkan nama Saratok di peringkat negeri dan kebangsaan.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Nostalgia warnai perjumpaan bekas pelajar SMK BM Saratok 1979
Next: Klinik Kesihatan Kabong anjur program kesedaran penyusuan, terima sumbangan peralatan baharu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.