
SARATOK: SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, menyatakan komitmen beliau untuk membantu seorang insan istimewa di Kampung Tengah Kupang bagi memiliki kediaman yang lebih selamat dan selesa.
Baru-baru ini, beliau telah mengadakan kunjungan ke kediaman Ahmad Jaraie selepas menerima laporan daripada Penghulu Misis Aris mengenai keadaan rumah lelaki tersebut yang kini dikategorikan sebagai tidak lagi selamat untuk didiami.
Menurut Mohamad Duri, tinjauan tersebut dibuat bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang dihadapi Ahmad Jaraie sebelum sebarang tindakan susulan diambil. Lawatan itu turut disertai oleh Penghulu Misis Aris, Kaunselor Aton Tar, Ketua Kaum Majenan serta Ketua Kaum Jepri Johari.
Beliau menjelaskan bahawa Ahmad Jaraie merupakan seorang insan istimewa yang tinggal bersendirian, namun keperluan asas harian seperti makan dan minum masih dipantau dan dibantu oleh ahli keluarga terdekat yang menetap di kawasan berhampiran.
“Saya telah mengadakan perbincangan bersama keluarga terdekat Ahmad Jaraie berhubung langkah seterusnya bagi membantu beliau memiliki rumah baharu.
“Keutamaan kita adalah aspek keselamatan serta memastikan beliau dapat tinggal dalam persekitaran yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.

Sehubungan itu, Pusat Khidmat ADUN Kalaka akan memainkan peranan sebagai penyelaras dengan menggembleng kerjasama Kepimpinan Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk setempat bagi merealisasikan pembinaan kediaman baharu berkenaan.
Mohamad Duri berkata, pembinaan rumah tersebut akan dilaksanakan secara gotong-royong dengan penglibatan penduduk kampung dan tukang rumah tempatan bagi memastikan struktur binaan yang kukuh serta menepati keperluan penghuni.
Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KMKK, para sukarelawan serta tukang rumah yang sanggup menghulurkan tenaga dan kepakaran dalam usaha murni membantu golongan yang memerlukan.
“Saya amat menghargai kerjasama semua pihak yang tampil bersama-sama menjayakan inisiatif ini.
“Semoga usaha ini dapat memberikan kehidupan yang lebih baik dan selesa kepada Ahmad Jaraie pada masa akan datang,” katanya lagi.
Oleh Adi Safarman