

SARATOK: Seorang penduduk Kampung Pagan, Mohammad Efnisaiful, menerima khabar gembira apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, mengumumkan bahawa kediamannya akan dibaik pulih dalam masa terdekat.
Berita gembira itu disampaikan semasa program ‘Menyantuni Mereka Yang Memerlukan Bantuan’ anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong dan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Bahagian Betong.
Program tersebut bertujuan menziarahi serta menyalurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan.
Selain lawatan mesra, keluarga Mohammad Efnisaiful turut menerima bantuan bakul makanan dan sumbangan wang tunai daripada JKM, Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan dan Pemanca Lim Guan Ann.
“Kita mahu pastikan rakyat yang memerlukan terus dibantu, bukan sekadar dengan sumbangan sementara, tetapi melalui tindakan susulan seperti pembaikan rumah supaya mereka dapat hidup lebih selesa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha membaik pulih kediaman rakyat yang memerlukan akan terus diberi perhatian di bawah inisiatif kebajikan dan sosial DUN Kalaka.
Beliau juga menghargai komitmen pelbagai pihak yang sentiasa bekerjasama dengan Pusat Khidmat ADUN Kalaka dalam memastikan tiada golongan terpinggir daripada perhatian kerajaan.
Mohamad Duri menyifatkan program seumpama ini sebagai lambang semangat prihatin, kebersamaan dan tanggungjawab sosial antara agensi kerajaan dan masyarakat dalam membantu golongan kurang berkemampuan, khususnya di kawasan luar bandar.
Oleh Adi Safarman