
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menzahirkan rasa syukur, bangga serta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Kolej Tingkatan Enam Saratok (KTES) atas pengiktirafan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Peringkat Kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 bagi Kategori Kolej Tingkatan Enam.
Beliau berkata, kejayaan berprestij itu membuktikan kecemerlangan KTES dalam melahirkan pelajar berkualiti serta menjadi satu kebanggaan bukan sahaja kepada warga kolej, malah kepada masyarakat di Saratok dan Sarawak secara keseluruhannya.
Menurutnya, pencapaian tersebut adalah hasil usaha gigih, komitmen tinggi dan pengorbanan seluruh warga KTES yang terdiri daripada barisan pengurusan, guru-guru, kakitangan sokongan, ibu bapa serta para pelajar yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pelajar yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, sekali gus membuktikan bahawa kecemerlangan mampu dicapai melalui disiplin, ketekunan dan kesungguhan dalam menuntut ilmu.
Empat pelajar yang berjaya memperoleh PNGK 4.00 ialah Danish Akhtar Mohamad Musa, Hanie Fatihah Zulajis, Nur Insyirah Sufi Zamir dan Nur Izzati Zaidi.
Mohamad Duri turut memberikan penghargaan kepada Pengetua KTES, atas kepimpinan yang berwawasan sehingga berjaya memacu kecemerlangan institusi berkenaan dan mengharumkan nama KTES di peringkat kebangsaan.

“Saya berharap kejayaan yang diraih ini akan menjadi pemangkin kepada seluruh warga KTES untuk terus melakar lebih banyak pencapaian cemerlang pada masa hadapan serta mengekalkan budaya kecemerlangan dalam bidang akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyantuni warga Kolej Tingkatan Enam Saratok (KTES) pada Majlis Penyerahan Slip dan Insentif STPM 2025 yang berlangsung dekat sini semalam.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah ADUN Krian Friday Belik, Pengetua Kolej Tingkatan Enam Saratok Omar Sharif Buseri serta seluruh warga KTES yang bersama-sama meraikan kejayaan para pelajar.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian insentif kepada pelajar STPM 2025 yang memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan kecemerlangan akademik yang ditunjukkan.
Selain itu, Anugerah Guru Cemerlang STPM Semester 1 Tahun 2026 dan Semester 3 Tahun 2025 turut disampaikan sebagai pengiktirafan kepada tenaga pendidik yang memainkan peranan penting dalam melonjakkan prestasi akademik kolej berkenaan.
KTES mencatat keputusan cemerlang STPM 2025 dengan mencapai 100 peratus kelulusan, memperoleh GPS 3.12, manakala seramai 101 pelajar berjaya memperoleh PNGK antara 3.00 hingga 4.00 daripada keseluruhan 161 calon yang menduduki peperiksaan tersebut.
Pencapaian membanggakan itu sekali lagi mengukuhkan kedudukan KTES sebagai antara institusi pendidikan prauniversiti terbaik negara, sekali gus membuktikan bahawa kecemerlangan berterusan mampu dicapai menerusi kerjasama erat antara pihak pengurusan, guru, pelajar dan ibu bapa.
Oleh Adi Safarman