
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menzahirkan penghargaan dan rasa bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh ahli Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Kabong, yang sentiasa tampil membantu masyarakat terutama dalam situasi kecemasan dan bencana.
Menurut beliau, kecekapan dan semangat sukarelawan yang ditunjukkan oleh PBS Kabong wajar dijadikan contoh kepada masyarakat lain dalam mengukuhkan budaya kesukarelawanan dan semangat gotong-royong.

“PBS Kabong bukan sahaja memainkan peranan penting dalam membantu agensi penyelamat semasa bencana, tetapi juga menjadi rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan dan kesiapsiagaan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi randau bersama PBS Kabong yang diadakan di Bilik Operasi PBS Kabong, petang semalam. Turut hadir, isteri beliau, Datin Meryani Yassin.
Chee Kadir berharap PBS Kabong akan terus aktif memainkan peranan sebagai barisan hadapan masyarakat dalam menghadapi situasi kecemasan, sekali gus menyemai semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial di kawasan Kabong.

Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak sebagai tanda pengiktirafan terhadap khidmat bakti dan sumbangan PBS Kabong dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi bot karam di perairan Kabong pada 4 hingga 10 September lalu.
Selain itu, beliau turut menyampaikan bantuan pembaharuan insurans dan cukai jalan bagi kenderaan milik PBS Kabong sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kesiapsiagaan pasukan sukarelawan tersebut.
Padaajkis tersebut, Chee Kadir turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 sebagai dana tahunan kepada PBS Kabong bagi menyokong aktiviti serta kelangsungan operasi persatuan berkenaan.
Oleh Adi Safarman