
KABONG: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir apabila beliau tampil menyampaikan sumbangan sebuah kerusi roda kepada seorang warga emas, Tuah Samaon, 76, di Kampung Sessang hari ini.
Tuah yang menghidap penyakit Parkinson dan darah tinggi, telah terlantar sejak tahun 2019, sekali gus menyukarkan pergerakannya dalam menjalani rutin harian bersama keluarga.
Sumbangan tersebut disampaikan bagi membantu meringankan beban ahli keluarga dalam menjaga kebajikan Tuah, selain memberikan kemudahan mobiliti bagi meningkatkan kualiti hidup beliau.
“Sumbangan kerusi roda ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Tuah dan memudahkan pergerakannya, khususnya dalam urusan harian,” katanya.

Penyerahan sumbangan turut disaksikan oleh Penghulu Kamaluddin Rambli yang turut hadir memberikan sokongan moral kepada penerima dan keluarga.
Chee Kadir turut menegaskan komitmennya untuk terus menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan di kawasan Kabong, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri memperkasa komuniti luar bandar secara inklusif dan menyeluruh.
Oleh Adi Safarman