
KABONG: Usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan pasukan penyelamat terus diperkasakan menerusi sokongan padu daripada kepimpinan tempatan demi kesejahteraan komuniti secara keseluruhan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, peranan pasukan sukarelawan amat besar dalam memastikan respons awal terhadap sebarang insiden kecemasan dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan.
Bagi menyokong kelancaran fungsi pasukan tersebut, beliau telah menyerahkan sumbangan lampu solar kepada Persatuan Bomba Sukarela Kabong dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong, semalam.
Sumbangan sebanyak tiga unit lampu solar itu telah diserahkan secara rasmi kepada Penaung Persatuan Bomba Sukarela Kabong, Penghulu Rahman @ Dom Kapok yang mewakili seluruh ahli persatuan berkenaan.
Menurut Chee Kadir, inisiatif berkenaan diharapkan dapat memenuhi keperluan logistik dan fasiliti asas pasukan itu dalam mengendalikan operasi harian mereka.
“Sumbangan tersebut akan dimanfaatkan dengan pemasangan lampu solar di hadapan bilik operasi Persatuan Bomba Sukarela Kabong bagi meningkatkan pencahayaan kawasan tersebut.
“Ia sekali gus membantu melancarkan urusan operasi dan meningkatkan aspek keselamatan, khususnya pada waktu malam,” katanya.
Chee Kadir berkata langkah ini juga dilihat mampu memberikan keselesaan kepada para petugas yang sering beroperasi dalam keadaan cuaca tidak menentu atau ketika berlaku gangguan bekalan elektrik.
“Saya berharap agar sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada Persatuan Bomba Sukarela Kabong dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pasukan sukarelawan yang sentiasa bersedia membantu masyarakat ketika berlakunya kecemasan dan bencana,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bomba Sukarela Kabong atas komitmen dan khidmat bakti yang dicurahkan demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Pihak Persatuan Bomba Sukarela Kabong turut menyambut baik sumbangan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu suntikan semangat untuk mereka terus berbakti kepada masyarakat setempat dengan lebih efisien.
Oleh Adi Safarman