
KABONG: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir turun padang menyantuni seorang penduduk yang berdepan ujian kesihatan menerusi program ziarah prihatin, semalam.
Dalam kunjungan tersebut, Chee Kadir bersama isteri, Datin Meryani Yassin, menziarahi Siti Norfalzila Ramli yang menghidap penyakit kencing manis dan telah menjalani pembedahan pemotongan kaki.
Sebagai tanda sokongan dan keprihatinan, beliau telah menyampaikan sumbangan sebuah kerusi roda bagi membantu memudahkan pergerakan harian Siti Norfalzila, khususnya untuk urusan keluar masuk rumah serta keperluan rawatan susulan.
Chee Kadir turut meluangkan masa bertanya khabar serta menyatakan rasa simpati terhadap dugaan kesihatan yang dihadapi oleh Siti Norfalzila dan keluarganya.

Beliau mendoakan agar Siti Norfalzila dikurniakan kesembuhan, kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian, selain dipermudahkan segala urusan rawatan dan penjagaan kesihatan.
Menurut beliau, sumbangan yang disampaikan diharap dapat meringankan beban keluarga serta memberi keselesaan dan semangat baharu kepada penerima untuk meneruskan kehidupan seharian dengan lebih baik.
Program ziarah prihatin ini memperlihatkan komitmen berterusan ADUN Kabong dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian, bantuan dan sokongan berterusan.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Kaum Abang Syarif Abang Fadil dan Abang Ahmad Abang Resdi yang sama-sama menyatakan sokongan moral kepada keluarga berkenaan.
Oleh Adi Safarman