
KABONG: Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir apabila beliau bersama isteri, Datin Meryani Yasin menziarahi beberapa penduduk yang sedang diuji dengan masalah kesihatan di sekitar kawasan Kabong, hari ini.
Pada siri lawatan itu, pasangan tersebut berkesempatan melawat pasangan suami isteri, Mat Bujang, 83, yang mengalami sakit uzur sejak Disember 2024, dan isterinya, Jamelah Mahdi, 75, yang menghidap kanser payudara sejak 2019. Keadaan Jamelah kini semakin uzur dan beliau hanya mampu terlantar di kediaman mereka di Kampung Wawasan Kabong.

Lawatan diteruskan ke rumah Jinap Jaini, 64, yang turut menghidap penyakit kanser payudara dan kerap menjalani rawatan di Hospital Sarikei. Jinap baru sahaja dibenarkan keluar hospital sebelum menerima kunjungan mesra daripada ADUN Kabong dan isteri.
Selain itu, Chee Kadir dan isteri turut menziarahi Maimunah Zeraie, 62, di Kampung Hilir Laut Kabong yang mengalami masalah kesihatan sejak November 2024 dan kini terlantar di rumah.
Pada setiap kunjungan, Chee Kadir meluangkan masa bertanya khabar, memberi kata-kata semangat serta menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Beliau menzahirkan rasa simpati dan sedih terhadap penderitaan yang dialami oleh mereka, selain berharap agar semua yang diuji terus tabah menghadapi dugaan dengan penuh kesabaran dan keimanan.
“Setiap insan pasti diuji dengan pelbagai bentuk cabaran dan saya berharap agar semua keluarga yang terlibat diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menguruskan insan tersayang,” katanya.
Oleh Adi Safarman