
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee mencadangkan penubuhan Pasukan Bomba Sukarelawan di kawasan Setulan bagi memperkukuh tahap keselamatan penduduk dan kesiapsiagaan komuniti menghadapi kebakaran serta kecemasan.
Menurut beliau, kehadiran pasukan sukarelawan akan memudahkan penduduk menerima latihan asas pemadaman kebakaran dan pengurusan kecemasan sekali gus memastikan tindakan awal dapat diambil sebelum bantuan bomba tiba.
“Saya harap komuniti di kawasan Setulan dapat menubuhkan pasukan bomba sukarelawan.
“Saya sudah meminta Kampung Jepak di bawah Penghulu Idil menubuhkan pasukan ini dan saya yakin Setulan juga boleh melaksanakannya.
“Saya serahkan kepada Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad, bersama Penghulu Isa Megong dan para tuai rumah di sini untuk menggerakkan penubuhan pasukan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Kita Selamat di Rumah Tiut Usit, Sungai Setulan, Jalan Pesisir Jepak-Kuala Tatau di sini, hari ini.
Tambahnya, program seumpama itu bukan sahaja mengajar kemahiran asas memadam kebakaran, malah mengukuhkan kerjasama antara komuniti, pihak berkuasa, dan industri.
“Saya berharap semua ilmu yang diperoleh hari ini dapat diamalkan dalam kehidupan seharian demi melindungi keluarga serta komuniti kita daripada risiko kebakaran,” jelasnya.
Beliau turut menggesa penduduk untuk memupuk semangat gotong-royong dan kerjasama komuniti bagi memastikan keselamatan generasi akan datang sentiasa terpelihara.
Oleh Carolyne Utih