KUCHING: Sebanyak 12 ekor lembu ‘ditumbangkan’ Pusat Khidmat Demak Laut bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dalam Kembara Ibadah Qurban Demak Laut 10.0.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, ini merupakan penganjuran kali ke-10 dan sebanyak 12 ekor lembu telah disumbangkan bagi tujuan Ibadah Qurban DUN Demak Laut pada tahun ini.
“Program ini diadakan dengan kerjasama beberapa NGO di peringkat kampung secara gotong-royong seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Peringkat Cawangan dan Ranting, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau, SABERKAS, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan sebagainya,” katanya selepas menyerahkan daging korban baru-baru ini.
Sebanyak 12 ekor lembu telah diagihkan kepada beberapa buah kampung dan selebihnya diagihkan oleh Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mengulas lanjut, Dr. Hazland menjelaskan Kembara Ibadah Qurban DUN Demak Laut kali ini amat menarik kerana turut disertai Kelab 4×4 DUN Demak Laut yang baru ditubuhkan pada tahun lepas.
“Pada tahun ini, Kembara Ibadah Qurban DUN Demak Laut turut disertai Kelab 4×4 DUN Demak Laut yang terdiri daripada belia dan pemuda dari kawasan DUN Demak Laut.
“Ini memberi peluang kepada belia dan pemuda dari DUN Demak Laut merasai sendiri pelaksanaan Ibadah Qurban secara lebih dekat,” tambahnya.
Antara lokasi Kembara Ibadah Qurban DUN Demak Laut pada tahun ini ialah di Padang IPK Kuching, Masjid Kompleks Polis Tabuan Jaya, Kampung Tabuan Drahman 1, Kampung Tabuan Drahman 2, Kampung Tabuan Cemerlang, Kampung Tabuan Hilir, Kampung Tabuan Lama, Kampung Tabuan Tengah, Kampung Tabuan Dani, Kampung Semilang, Kampung Bako Hulu dan Kampung Bako Hilir.