
PANTU: Ibu bapa dan penjaga murid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan digesa agar tidak menghalang anak-anak mereka masuk ke Sekolah Antarabangsa milik kerajaan Sarawak yang menawarkan peluang pendidikan bertaraf dunia.
Gesaan tersebut disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang ketika merasmikan Majlis Merarau Komuniti dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Selanjan, dekat sini semalam.
Menurut beliau, Sekolah Antarabangsa Sarawak menggunakan sukatan pelajaran Universiti Cambridge yang diiktiraf secara global dan hanya menerima pelajar terpilih yang cemerlang dalam akademik serta sahsiah diri.
“Mereka yang terpilih ke sekolah ini mempunyai masa depan yang sangat cerah. Setelah tamat, peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara amat luas dan terbuka,” katanya.
Mong turut memaklumkan bahawa mulai 2026, akan diadakan peperiksaan khusus bagi beberapa mata pelajaran terpilih untuk menilai tahap penguasaan pelajar secara lebih mendalam.
Dalam ucapannya, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada semua sekolah di bawah DUN N.31 Bukit Begunan atas pencapaian yang sangat membanggakan dalam keputusan peperiksaan serta pengurusan berhemah terhadap peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang diterima.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada SK Selanjan atas peningkatan prestasi luar biasa dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Pencapaian tersebut diserlahkan antaranya melalui kejayaan murid, Yohanes Awil Jayan, yang memenangi dua pingat emas dalam acara 100 meter dan 200 meter kategori Lelaki 11 Tahun Kebawah dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sarawak, serta dinobatkan sebagai Olahragawan Lelaki Terbaik Peringkat Negeri.
Pasukan bola sepak SK Selanjan turut meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Bola Sepak Zon Pantu, manakala murid tahun dua, Fheodora Orkied Pairmon, muncul naib juara kategori Tahap Dua dalam Pertandingan Bintang Kecil Peringkat Bukit Begunan.
Dari segi akademik, prestasi keseluruhan pelajar juga menunjukkan peningkatan yang konsisten, sekali gus menggambarkan komitmen tinggi pihak sekolah terhadap kecemerlangan pendidikan.
Guru Besar SK Selanjan, Abdul Rahman Bokhari, turut melahirkan rasa syukur atas pencapaian yang diraih dan menggesa ibu bapa serta penjaga agar terus memberikan sokongan padu kepada sekolah demi kesinambungan kejayaan murid-murid.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sekolah tersebut, Mong mengumumkan peruntukan RM10,000 menerusi MRP kepada PIBG serta RM100,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 bagi pembinaan Lapangan Berkonkrit Pelbagai Guna di SK Selanjan.
Oleh Adi Safarman