
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng menyumbangkan seekor lembu untuk dikorban kepada pihak Masjid Al-Muhajirin di Kampung Usahajaya di sini sempena sambutan Aidiladha.
Menurut beliau, daging korban itu akan diagihkan kepada golongan asnaf di kawasan sekitar sebagai sebahagian daripada usaha membantu masyarakat yang memerlukan.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kami (ADUN Bukit Assek) melaksanakan ibadah korban sempena musim haji dan memastikan agihan daging sampai kepada golongan sasaran.
“Ibadah ini mencerminkan nilai-nilai murni dalam Islam seperti kasih sayang, keprihatinan dan semangat membantu sesama insan sejajar dengan nilai sejagat tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan lembu korban di masjid berkenaan hari ini.
Beliau turut menyifatkan program seumpama itu sebagai lambang perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak yang sentiasa meraikan musim perayaan bersama-sama dalam suasana harmoni.
“Inilah keindahan Malaysia, khususnya di Sarawak di mana kita menyambut musim perayaan bersama dalam semangat perpaduan,” tambahnya.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Cawangan Bukit Assek, Dato Chieng Buong Toon dan Pengerusi Masjid Al-Muhajirin, Ramli Hussin.
Oleh Tarani Lanting