SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek telah menyampaikan insentif tunai kepada 13 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek di sini, hari ini.
Menurut Chieng, hadiah insentif itu telah beliau berikan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam SPM, Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) dan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) sejak 2022.
“Hadiah insentif ini diberikan bukan hanya sebagai penghargaan atas usaha anda sebelum ini tetapi juga sebagai sokongan untuk pengajian anda pada masa akan datang.
“Saya harap anda akan menggunakannya sebagai motivasi untuk terus gigih dan tekun serta berusaha untuk mencapai kecemerlangan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian insentif.
Chieng berkata, bidang pembelajaran bukan sahaja tentang memperoleh pengetahuan tetapi juga mengenai pembentukan watak, meluaskan pandangan dan memperluaskan perspektif dunia.
“Secara amnya pendidikan merupakan asas kepada sesebuah negara dan pertumbuhan individu.
“Oleh itu, saya sebagai seorang ADUN, tidak hanya memberi fokus kepada menaiktaraf sekolah-sekolah dalam kawasan saya tetapi juga prihatin terhadap akademik anda,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kejayaan pelajar berkenaan adalah disebabkan kerja keras para guru disamping dorongan yang kuat daripada ibubapa mereka.
“Kita harus sentiasa bersyukur atas kejayaan kita di samping itu adalah sangat penting untuk kita menghormati guru dan menghargai ibubapa kita sehingga kita memperoleh kejayaan seperti hari ini,” katanya.
Hadir sama ialah Pengetua SMK Bukit Assek Nicholas Kanyan dan Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bukit Assek Helena Adis.
Oleh Tarani Lanting