
SHAH ALAM: Penyanyi popular Adira Suhaimi dan anak sulungnya Anggrek Adenan, muncul juara program realiti Talk To My Manager Musim 2 (TTMM2) pada pentas akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan pasangan yang bertindak sebagai pengurus dan peserta tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, emas, pakej penginapan, rakaman single dan trofi.
Adira berkata penyertaannya dalam program itu bukan untuk mengejar gelaran juara, sebaliknya memberi peluang kepada anak perempuannya yang berusia sembilan tahun menimba pengalaman serta pendedahan dalam industri hiburan.
Beliau berkata konsep pertandingan yang menilai bukan sahaja vokal, tetapi juga aspek persembahan dan peranan pengurus menjadi faktor utama beliau bersetuju menyertai program berkenaan.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah terfikir kami akan menang dan tetap berpegang pada tujuan asal untuk Anggrek belajar serta mendapatkan pendedahan. Semua ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka buat Anggrek dan saya berterima kasih kepada semua yang menyokong serta memberi komen sepanjang pertandingan ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas konsert akhir itu.
Adira menyifatkan Anggrek sebagai peserta yang cekal dan sentiasa berusaha memberikan persembahan terbaik meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang pertandingan.
Beliau berkata pemilihan lagu yang mencabar adalah bagi menguji kemampuan Anggrek serta membina keyakinan diri anaknya itu.
“Ramai yang mengatakan lagu yang saya pilih terlalu sukar untuk usianya, tetapi saya percaya jika kita tidak mencabarnya, kita tidak akan tahu sejauh mana kemampuannya. Anggrek ini seorang anak yang kuat dan sentiasa mahu mencuba perkara baharu,” katanya.
Pada konsert akhir itu, Anggrek mempersembahkan lagu Aku Stacy secara solo dan berduet dengan Aisha Retno mendendangkan lagu Sutera.

Tempat kedua dimenangi Hussain bersama-sama dengan pengurusnya Jamilulhayat yang juga penyanyi era 1980-an, manakala tempat ketiga menjadi milik usahawan Datuk Seri Vida dan anaknya Cik B.
Penerbit Datuk A. Aida dan anak keduanya Azeva, menduduki tempat keempat manakala Safura dan Kim Khairii di tempat kelima.
Dalam pada itu, anugerah Manager Paling Perform dimenangi pasangan Jamilulhayat dan Husain, manakala Adira dan Anggrek turut menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie berserta hadiah wang tunai RM10,000.- Bernama