ADUM LIU
BEKENU: Adik Rashid Abdullah yang berusia setahun tiga bulan mendapat sumbangan RM45 ribu daripada orang awam untuk menjalani pembedahan di bahagian sulit yang dijangka akan dilakukan pada Julai depan di Hospital Kuching Sarawak.
Era Abdullah, 33 tahun (ibu Rashid Abdullah) bersama suami dan enam anak yang lain sangat bersyukur dan terima kasih kepada para dermawan telah membantu mereka untuk mencari kos pembedahan anaknya.
Ibu Rashid yang ditemui di rumah sewa mereka semalam berkata, pembedahan di bahagian sulit Rashid perlu dilakukan untuk keselamatannya.
Katanya, masalah yang dialami oleh anaknya itu telah berlaku sebelum Rashid berusia setahun.
“Pembedahan itu nanti akan dilakukan oleh beberapa doktor pakar yang diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Hospital Sarawak Kuching.
“Sangat bersyukur ada bantuan daripada orang awam, suami saya iaitu Akmal Abad, 33 tahun merupakan pekerja harian kini tidak bekerja sebelum penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas,” jelasnya.
Sementara itu, sekumpulan orang awam dari bandar raya Miri hanya mahu dikenali Richard, P&E Friends berkunjung ke rumah sewa ibu bapa Rashid Abdullah di Kampung Dagang Bekenu telah menghulur bantuan sejumlah RM5,000 untuk pembedahan bersama bekalan makanan bernilai RM1,000.
Utusan Sarawak difahamkan bahawa bantuan RM45 ribu kos pembedahan itu adalah sumbangan orang awam yang murah hati dari Kuala Lumpur, Kuching, Sibu, Miri dan Singapura.