BARIO: Adat Kelabit 2008 digubal semula untuk memastikan peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalamnya kekal relevan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, tidak dinafikan terdapat peruntukan-peruntukan di dalam Adat yang sudah tidak relevan pada zaman sekarang.
“Sebagai contoh, ‘quantum of fine’ di mana dalam buku Adet Kelabit 2008, 1 ‘ilung bao’ hanyalah bersamaan RM1.00.
“Jika dahulu nilai ini memang besar, tapi pada 2023, ini tidak lagi relevan,” katanya pada majlis Penangguhan Seminar Adat Kelabit 2008 (Pendrafan Semula/ Pindaan Adat) di sini, kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menambah adat bukan sahaja sebahagian daripada budaya dan tradisi, tapi ia juga merupakan identiti dan cara hidup masyarakat yang masih diguna pakai sehingga ke hari ini.
“Adat Bumiputera Sabah dan Sarawak diiktiraf di dalam Perlembagaan Malaysia, jika tidak digunakan mana mungkin kita akan berada di sini pada petang ini,” tambahnya.
Beberapa cabaran telah dikenal pasti sepanjang dua hari program ini berlangsung termasuklah perubahan cara hidup penduduk yang berpindah dari Ulu ke Bandar, pemegang adat yang terdiri daripada Ketua Masyarakat dan ketua Kaum (KMKK) tinggal di bandar dan tidak berpengalaman dalam menghakimi perbicaraan berbangkit dan perubahan peranan KMKK apabila Projek Naik Taraf Mahkamah Bumiputera untuk setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dijalankan.
Namun begitu, hal ini tidak mematahkan semangat KMKK Kawasan Bario untuk menilai satu per satu seksyen di dalam buku Adat bagi memastikan setiap seksyen masih relevan termasuk seksyen yang jarang digunakan.
Datuk Gerawat Gala dalam pada itu mengucapkan syabas kepada peserta program di atas ketelitian mereka melaksanakannya.
“Input yang tuan puan berikan ini nanti sudah semestinya sangat berguna kepada Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) untuk mereka menganalisa dan menyusun semula Adat Kelabit 2008 agar lebih komprehensif,” katanya.
Jelas beliau lagi, program ini tidak akan berhenti di sini kerana akan ada program susulan termasuk pegawai dari MAIS yang akan melawat kampung-kampung bagi menjalankan kajian terperinci dan melakukan pemerhatian.
Beliau berharap, KMKK akan memberikan kerjasama dan layanan yang sewajarnya kepada MAIS agar proses pendrafan semula Adat Kelabit 2008 ini berjalan dengan lancar.
Hadir sama Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak Datu Ronnie Edward, Ketua Seksyen Penyelidikan Etnik Orang Ulu Dr Ipoi Datan dan Pegawai Tadbir Menguasa di Pejabat Daerah Kecil Bario Richard Usah.
– UKAS