LAWAS: Zaman teknologi maklumat banyak mengubah sistem ekonomi dan perniagaan.
Sehubungan itu, komuniti peniaga perlu mengadaptasi cara perniagaan sejajar dengan zaman teknologi hari ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan, daripada aspek pengeluaran, promosi, pemasaran semuanya berdasarkan trend baharu.
“Sekarang orang sudah bercakap tentang 5G untuk terus melangkah ke persekitaran baharu. Jika kita tidak terlibat sama, kita akan jauh ketinggalan,” tambahnya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak, berkata demikian ketika merasmikan Program Keusahawanan: Teknik Menjana Pendapatan Melalui Platform Teknologi Digital di Hotel Seri Malaysia di sini semalam.
Program itu dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED).
Awang Tengah berkata pengenalan Ekonomi Digital oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melihat kepada trend perdagangan masa depan yang dijana melalui teknologi digital.
Malah, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu nenyaksikan kepentingan ekonomi digital itu dalam mengerakan ekonomi peniaga kecil sehingga mampu menjana pendapatan untuk menyara keluarga, katanya.
Sejajar dengan itu, peruntukan berjumlah RM1 billion sediakan untuk meningkatkan capaian internet dan komunikasi di seluruh Sarawak, tegas beliau.
“Memang kita akui sekarang berdepan masalah capaian internet dan telekomunikasi yang tidak stabil.
“Tetapi kita akan terus berusaha meningkatkan keupayaan ini melalui pembinaan lebih banyak menara telekomunikasi dan aspek berkaitan yang tentunya akan memakan sedikit masa,” tambahnya.
Awang Tengah yang juga salah seorang pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ekonomi Sarawak memberitahu, ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar adalah antara teras utama untuk mengerakan sasaran Sarawak negeri maju menjelang tahun 2030.
Pada masa sama, beliau mahu setiap peserta yang ingin terlibat dalam sesuatu bidang ekonomi perlu bersungguh-sungguh kerana kerajaan hanya mampu menyediakan kemudahan.
“Hakikatnya komitmen dan usaha bersungguh usahawan itu sendiri menentukan kejayaan mereka,” katanya.
Beliau mahu lebih ramai masyarakat di Lawas menggunakan ruang dan peluang dalam ekonomi digital untuk mempromosi Lawas dan produk mereka di peringkat global.
Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan PKS Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais dan Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi.
Oleh Adeng Edrus