KUCHING: Petani di negeri ini digalakkan agar mengadaptasi teknologi pendigitalan atau Internet Pelbagai Perkara (IoT) dalam bidang pertanian untuk meningkatkan produktiviti dan pada masa sama mengurangkan kos, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata demikian susulan lawatannya ke ladang ternakan udang Sea Horse Corporation Sdn Bhd di Lundu, kira-kira 80 kilometer dari pusat bandar di sini semalam.
Sea Horse, sebuah syarikat pengeluar udang terbesar di Sarawak ketika ini menggunakan IoT dan automasi dalam proses penternakan udang.
Menurut Uggah, Sea Horse berkembang pesat dengan penggunaan teknologi terutama dalam produktiviti yang tidak dapat dilakukan menerusi perternakan udang konvensional.
Beliau berkata, kolam-kolam di ladang ternakan syarikat berkenaan dilengkapi teknologi pemberian makanan secara automatik dan teknologi mengukur kualiti air kolam ternakan.
“Ini adalah atas usaha mereka sendiri dan kini kesemua 178 kolam ternakan milik syarikat ini menggunakan IoT dan ia hanya membabitkan kos RM1.2 juta untuk membangunkan sistem itu.
“Setelah menggunakan teknologi IoT, kami dapat lihat penghasilan mereka menghampiri tiga kali ganda dan mungkin lebih. Teknologi IoT boleh membantu petani mendapatkan data dan dengan data itu mereka boleh memantau dan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas melawat ladang berkenaan di sini, semalam.
Uggah yang dalam lawatan kerja sehari ke Lundu semalam turut meluangkan masa melawat projek Tanaman Padi Tanjung Purun dan projek madu lebah Sri Gading di sini. – Bernama