BINTULU: Kemunculan virus Covid-19 buat pertama kali pada tahun lepas telah mengundang banyak perubahan lebih-lebih lagi dalam rutin harian.
Ini dapat dilihat dengan penekanan terhadap penjagaan kebersihan
sehingga ke Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia.
Dengan beberapa langkah yang terpaksa diambil oleh kerajaan, kebanyakan operasi bagi sektor-sektor penting di negara nyata turut terjejas.
Antaranya adalah pendidikan yang jelas memainkan peranan dalam pembangunan sesuatu negara, namun kini masih lagi menjadi persoalan kepada semua rakyat bila aktiviti sekolah dapat dilansungkan seperti sebelum ini.
Disebabkan Covid-19, institusi pendidikan telah melaksanakan pembelajaran dan latihan secara dalam talian manakala pengurusan dan pentadbiran juga kebanyakannya dilakukan dari rumah.
Bukan itu sahaja, pengubahsuaian modul pembelajaran juga dilakukan mengikut kesesuaian perubahan penyampaian dan banyak lagi.
Boleh dikatakan bidang pendidikan berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama dari segi jadual pembelajaran para pelajar berikutan Covid-19 mula menular masuk ke negara ini.
Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa cara baharu seperti pembelajaran dalam talian perlu diadaptasi pebagai pihak terutama guru dan pelajar dalam usaha memastikan setiap pelajar tidak ketinggalan semasa kerajaan melaksanakan PKP bagi memutuskan rantaian penularan penyakit itu.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan para pelajar mahupun guru semasa cuba menyesuaikan diri dengan perubahan drastik dan cara pembelajaran baharu dalam masa yang singkat.
Keadaan ini mungkin lebih memberi tekanan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang telah bermula pada 22 Februari lalu.
Tidak lupa juga dengan pelajar tingkatan enam yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dijadualkan akan bermula pada 8 Mac depan.
Melihat keadaan itu, Radzi Jidin sebelum ini berkata, kementeriannya mahu pelajar yang menduduki peperiksaan utama kembali ke sekolah supaya mereka lebih bermotivasi.
Justeru, pelajar dan calon peperiksaan utama bagi sesi 2020 dan 2021 sempat dibenarkan hadir ke sekolah sebelum ini, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat terutama di negeri yang dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama itu.
Berbalik kepada cabaran yang dihadapi pelajar dan guru, ia mungkin sesuatu yang tidak dielakkan dalam situasi kita saat ini kerana hakikatnya langkah-langkah tersebut adalah jalan terbaik meskipun timbul kesan lain.
Bukan itu sahaja, oleh kerana proses pembelajaran kebanyakannya terpaksa beralih kepada dalam talian iaitu berkonsep e-pembelajaran, para guru juga perlu berhadapan dengan situasi segelintir murid yang tiada akses internet dan memiliki peranti bersesuaian untuk belajar secara maya.
Apalagi di Sarawak termasuk Sabah juga yang jelas berdepan rintangan lebih mencabar kerana isu infrastruktur sekolah dan jaringan telekomunikasi yang boleh dikatakan masih ketinggalan berbanding negeri lain.
Namun begitu, walau dengan pelbagai dugaan, diharapkan ia sama sekali tidak akan melunturkan semangat juang para guru dan pelajar untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan menerapkan amalan norma baharu dalam sektor pendidikan negara.
Tambahan lagi, menurut pakar, virus Covid-19 ini akan berkemungkinan akan terus berada dengan kita untuk tempoh masa yang lebih lama di mana ada yang jangkakan satu hingga dua tahun lagi.
Maka, penting untuk kita tidak leka dan cuai serta mengambil risiko membahayakan kesihatan dan keselamatan guru dan anak-anak yang akan berada di sekolah.
Oleh CAROLYNE UTIH