MIRI: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii bersama Timbalannya, Julaihi Mohamad dan 30 Ahli Majlis masing-masing dilantik semula sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) MBM berkuat kuasa 1 Julai hingga 30 Jun 2022.
Mewakili semua ahli majlis, Yii berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kerajaan Temapatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian atas kepercayaan melantik semula mereka.
“Saya mewakili semua ahli majlis berikrar akan melaksanakan tugas dan menyampaikan perkhidmatan dengan kemampuan sepenuhnya kepada rakyat dan juga kerajaan yang telah memberi kami peluang untuk berkhidmat.
“Kami akan terus bekerja secara tidak berat sebelah sebagai satu pasukan dan bersama-sama menunjukkan kemampuan dan pencapaian dalam pelbagai aspek untuk pembangunan Bandaraya Miri dan penduduk Miri,” katanya selepas Majlis Angkat Sumpah Perlantikan Semula Ahli-Ahli Majlis PBT yang diadakan secara maya di sini,semalam.
Majlis itu disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg.
Yii menyatakan bahawa tempoh jawatan sekarang (pelantikan semula) adalah kesinambungan daripada pelantikan terakhir mereka dari 1 Julai 2019 hingga 30 Jun 2021.
Katanya, pelantikan semula ini secara berkesan akan membolehkan mereka mengawasi dan melaksanakan pelbagai program Pelan Strategi Bandaraya Miri yang juga bertujuan untuk menyelaraskan rancangan strategik mereka untuk tempoh lima tahun.
“Pelan Strategi Bandar Miri memberikan penekanan yang besar untuk melaksanakan lebih banyak projek pembangunan, memperluas perkhidmatan bandar yang efisien dan melengkapkan usaha Kerajaan untuk pembangunan pelancongan di Bandaraya Miri melalui Miri Smart City Proof of Concept (MSCP) yang telah dilancarkan pada 12 April lalu sehingga teknologi digital telah diterapkan secara meluas dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program.
“Tujuan utamanya adalah untuk mewujudkan keadaan hidup yang lebih baik, persekitaran tempat tinggal yang selamat, sihat dan ekonomi yang rancak yang semuanya akan bermanfaat bagi penduduk Miri dan Bandaraya Miri,” ujarnya.
Oleh LIONG CHAI LING