SIDANG MEDIA… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun OPeng ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-5 PRS di Sibu, semalam.
SIBU: Segelintir Ahli Parlimen mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan dicalonkan semula untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Premier Sarawak yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata tempat mereka akan digantikan dengan muka baharu.
“Ada ahli Parlimen PBB yang telah menyampaikan hasrat mereka untuk tidak mempertahankan kerusi pada PRU15.
“Mereka menyatakan sudah sampai masanya mereka mencari pengganti atau memberi laluan kepada orang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-5 Parti Rakyat Sarawak (PRS) di sini, semalam.
Abang Johari bagaimanapun tidak menyebut nama dan jumlah Ahli Parlimen PBB yang mahu bersara.
Untuk rekod, PBB mempunyai 13 Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen berkenaan adalah Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong), Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya), Rubiah Wang (Kota Samarahan), Datuk Seri Nancy Shukri (Batang Sadong), Datuk Rohani Abdul Karim (Batang Lupar) dan Datuk Robert Lawson Chuat (Betong).
Selain itu, PBB juga juga mempunyai Ahli Parlimen di Tanjung Manis yang diwakili Yusuf Abdul Wahab, Ahmad Johnie Zawawi (Igan), Datuk Hanifah Hajar Taib (Mukah), Dato Sri Alexander Nanta Linggi (Kapit), Lukanisman Awang Sauni (Sibuti), Datuk Hasbi Habibollah (Limbang) and Datuk Henry Sum Agong (Lawas).
Pada PRU-14, PBB tewas di kerusi Parlimen Puncak Borneo yang dimenangi Datuk Willie Mongin atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika itu.
Ketika ditanya persediaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menghadapi PRU-15, Abang Johari pihaknya sudah bersedia.
“Kita tidak tahu bila PRU-15, tapi satu perkara yang penting ialah dalam GPS kita sentiasa bersedia macam PRN (Pilihan Raya Negeri) dulu, kita bersedia tetapi secara diam-diam, kerja saja supaya rakyat dapat melihat,” katanya yang juga Pengerusi GPS.
Ditanya sama ada beliau akan menasihati PRS dan parti komponen GPS lain untuk meletakkan calon wanita dalam PRU15 nanti, Abang Johari berkata:
“Itu saya serahkan kepada parti masing-masing untuk menentukan siapa yang akan mereka pilih sebagai calon mereka.
“Ia adalah kes yang sama untuk PBB. Saya tidak boleh memberitahu anda bagi pihak PRS kerana ia terpulang kepada kepemimpinan parti.
“Tetapi, bagi PBB ada tanda-tanda mereka mahu memberi laluan kepada muka baharu. Saya akan mendedahkan calon apabila tiba masanya,” katanya tanpa mendedahkan lebih lanjut.
GPS mempunyai 19 kerusi di Dewan Rakyat iaitu PBB 13 kerusi; Parti Rakyat Sarawak (PRS) tiga kerusi; Parti Demokratik Progresif (PDP) dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) satu kerusi.
Oleh AKUN GIMAN